CERPEN

Wednesday, January 05, 2005

CERPEN


GADIS NEGERI SEMBILAN
Oleh: Abdullatip
Suasana di daerah pedalaman ini tenang dan tenteram. Alam di kelilingku di hiasi dengan pohon-pohon kayu yang segar menghijau. Tidak jauh dari rumah kediamanku kelihatan sawah yang luas terbentang di pagari oleh Banjaran Titiwangsa. Aku merasa bertuah dapat mencurahkan khidmat bakti di negeri Adat Perpatih ini. Keramahan penduduknya dan keindahan alam semula jadinya menjadikan aku merasa bahagia bertugas di sini.
Namun aku sedar, sejak aku menjejakkan kaki di sebuah perkampungan yang letaknya jauh di pedalaman ini, hati ibuku kerap dilanda perasaan bimbang. Dia bimbang jika anak kesayangannya terpikat dengan gadis Negeri Sembilan.
Kerana itulah, sejak aku menerima surat tawaran bertugas di kawasan pedalaman ini, ibuku melambakkan pesanan supaya aku berhati-hati jangan sampai terpikat dengan gadis negeri Adat Perpatih.
" Teruk sangatkah Gadis negeri sembilan itu,?" tanyaku sekadar memancing perbualan.
Ibuku yang sedang memasukkan pakaian ke dalam beg kelihatan termenung seketika sebelum menjawab pertanyaanku. " Mak dah dengar macam-macam cerita mengenai gadis Negeri Sembilan ni."
Menurut ibuku, sesiapa yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan kena ikut Adat Perpatih. Kena masuk suku, harta pusaka mesti diwarisi oleh orang perempuan. Jika bercerai, suami kena keluar dari rumah hanya dengan sehelai sepinggang. Dan apa yang paling menakutkan hati ibuku bila jiran kami Mak Joyah mengatakan gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ilmu pengasih untuk memikat jejaka yang berkenan di hatinya.
Kata Mak Joyah lagi, bila sudah berkahwin Gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan hati suami. Akibatnya suami kena kontrol oleh isteri. Si suami lupa hendak balik ke rumah orang tuanya dan takut hendak menghulurkan duit gaji kepada orang tua atau adik beradiknya.
Sesungguhnya, itulah yang paling membimbangkan hati ibuku. Dia takut sungguh kalau aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Bagi ibu kalau boleh biarlah aku berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Gadis yang sudah dikenal hati budi dan jurai keturunannya. Kerana itu siang malam, pagi petang ibu berdoa semoga aku tidak berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Dan setiap kali aku balik ke rumah bila cuti ibu tidak lupa memberi nasihat kepada aku, anak kesayangannya.
Kata ibuku, pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. Mulut jangan celupar, berhati-hati memilih kawan, berwaspada bila makan minum di rumah orang dan paling penting, kata ibu berulangkali, jangan berkawan rapat dengan gadis Negeri Sembilan.
Selalunya bila diberi nasihat oleh ibu, aku hanya tersenyum sambil mengatakan Insyaallah. Memang begitu sikapku tidak banyak cakap bila berhadapan dengan ibu. Apatahlagi membantah kata-katanya. Tambahan pula aku tak mahu jadi anak derhaka kerana aku tahu anak derhaka tidak dapat mencium syurga. Sikap dan pengakuanku itu dapat meredakan perasaan ibu. Tetapi berlainan pula dengan ayahku. Dia selalu membela aku.
" Anak kita tu bukannya budak-budak. Dia sudah dewasa dan ada pelajaran. Fikirannya sudah matang untuk merancang masa depannya. Lebih lagi dalam hal memilih pasangan hidupnya. Kita doakan sahaja semoga dia hidup bahagia dunia dan akhirat." Kata ayah sambil matanya terus menatap akhbar Jawi di tangannya..
" Saya takut Amri berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," kata ibuku pula.
" Jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Jika ditakdirkan Amri bertemu jodoh dengan gadis Negeri Sembilan, apa boleh buat. Kita terima sajalah!," ayah juga tak mahu mengalah. Aku faham benar sikap ayah. Dia suka berterus terang dan bersikap terbuka.
Tetapi ibuku masih berkeras. Ibu mengatakan dia tidak mahu aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. " Saya pun tahu jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Tetapi Allah beri peluang untuk kita berusaha. Dan saya akan berusaha supaya anak kita tidak beristerikan gadis Negeri Sembilan."
Hari demi hari yang berlalu terasa begitu cepat peredarannya. Di siang hari aku menghabiskan masa mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa yang hauskan ilmu pengetahuan. Di malam hari aku ke masjid solat berjemaah atau menghadiri majlis ilmu untuk bekalan akhirat. Kini sudah genap satu tahun aku bertugas di Negeri Sembilan. Dan apa yang paling ditakuti oleh ibuku sudah menjadi kenyataan. Kepulanganku pada pagi hari minggu itu membawa berita yang sungguh tidak menyenangkan hati ibu. Aku melahirkan hasrat di hati untuk menyunting gadis Negeri Sembilan.
" Saya berkenan pada dia, Mak. Kami dah sama-sama jatuh cinta," kataku berterus terang.
" Kalau dia dah suka, kita ikut sahaja. Baik kata dia, baiklah kata kita. Sebab yang nak kahwin, dia, bukannya kita," Seperti yang kuduga, ayah akan menyebelahi aku.
" Saya tak setuju dengan gadis pilihan anak kita itu," bentak ibuku.
" Mak tak setuju kerana dia gadis Negeri Sembilan?" tanyaku pula dengan nada suara yang lembut.
" Gadis Negeri Johor ni apa kurangnya. Gadis macam mana berkenan di hati kau?. Hendak yang kulitnya putih melepak, nak yang hitam si tampuk manggis, yang kurus atau yang gemuk semuanya ada. Serahkan saja kepada mak untuk mencarinya," kata ibuku.
" Kenapa kamu ni benci sangat dengan gadis Negeri Sembilan?. Bukankah mereka juga manusia seperti kita, bangsa Melayu dan beragama Islam..." kata ayah dengan nada suara yang masih ditahan-tahan.
Sebenarnya aku juga ingin menanyakan perkara yang sama. Tetapi ayah yang mendahuluinya. Lagipun masih ada perasaan hormatku terhadap ibu. Sesungguhnya aku ingin menjadi anak yang baik. Seingatku sejak kecil tidak pernah menyakiti hati ibu. Cuma kali ini sahaja mungkin sikapku telah menyakiti hatinya.
" Saya takut anak kita kena kontrol nanti. Sebab orang Negeri Sembilan berpegang kepada Adat Perpatih yang bertentangan dengan syariat islam," ibuku meluahkan kebimbangannya.
" Mana awak tahu Adat Perpatih bertentangan dengan syariat Islam?" tanya ayah pula.
" Memang betul, bang. Contohnya dalam pembahagian harta pusaka. Mereka tak ikut hukum faraid. Anak lelaki lansung tak dapat mewarisi harta pusaka sebab yang berhak menerimanya orang perempuan sahaja," jawab ibu sambil melahirkan rasa kesalnya.
" Sebenarnya, begini, Mak…." Aku cuba meredakan suasana. Paling aku bimbang jika terjadi pertengkaran antara ibu dengan ayah disebabkan aku. " Selama setahun sayang bertugas di Negeri Sembilan, saya dapat memahami adat istiadat mereka termasuk sistem adat perpatih."
" Betul ke Adat Perpatih tu bertentangan dengan hukum Islam?" tanya ayah pula.
" Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan juga seperti kita. Beragama Islam dan mengamalkan ajaran islam. Sembahyang mereka, puasa mereka dan pegangan agama mereka sama seperti kita."
" Bagaimana pulak dengan pembahagian harta pusaka?. Apakah mereka ikut hukum Islam?. Hukum agama kita?" tanya ibuku.
" Dalam sistem Adat Perpatih diutamakan hak kaum wanita. Tujuannya supaya nasib kaum wanita itu terpelihara dan terjamin masa depannya. Kerana itu kebanyakan wanita di negeri sembilan tidak ada yang teranianya kerana dilindungi oleh keluarga mereka."

" Aida anak Pak Cik Seman kau tu apa kurangnya. Dia bersopan santun dan berbudi bahasa. Orangnya pun cantik. Mak berkenan sangat dengan budak tu. Kalau Amri bersetuju mengambil dia menjadi isteri, biar mak yang menguruskan segalanya," Ibuku cuba mengalih tajuk perbualan.
" Ini soal masa depan saya, Mak. Berilah peluang kepada saya untuk memilih siapa ibu kepada anak-anak saya. Apa yang penting, bakal isteri saya tu orang yang saya cintai. Dan dia menyintai saya. Apa gunanya perkahwinan jika tidak ada rasa saling cinta mencintai antara satu sama lain." kataku berterus terang.
" Benar kata kau tu, Amri. Tetapi mak tidak kenal siapa gadis pilihan kau tu. Entah macam mana hati budinya. Siapa keluarga dan bagaimana keturunannya. Semuanya perlu kita selidiki kerana mak tidak mahu kau menyesal di kemudian hari nanti," ibu masih tidak berputus asa memujuk aku.
" Saya sudah lama berkawan dengan Hayati, Mak. Tambahan pula kami bekerja di tempat yang sama. Saya sudah tahu hati budinya dan saya sudah kenal rapat dengan keluarganya. Percayalah bahawa Hayati itu baik orangnya dan dia daripada keturunan yang baik pula," kataku cuba meyakinkan ibu.
" Masa bercinta ni semua nampak baik. Tetapi bila sudah berkahwin nanti barulah kau tahu keadaan yang sebenarnya. Mak tidak mahu kau menyesal nanti kerana berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," balas ibu.
" Kenapa perkara itu yang mak nak persoalkan?. Bukankah mereka juga ada pegangan agama. Punya hati dan perasaan seperti kita. Apakah bezanya antara gadis Negeri Sembilan dengan gadis di negeri lain?" aku masih cuba meyakinkan ibu.
" Mereka dikongkong oleh Adat Perpatih. Mak sudah banyak mendengar cerita tentang keburukan mereka yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan!" ibu masih tidak mengubah fikirannya.
" Jangan dengar cerita orang, Mak," pujukku. " Saya sudah lama bergaul dengan masyarakat Negeri Sembilan. Mereka tidak seburuk seperti yang mak sangkakan. Percayalah cakap saya ni."
" Amri sudah besar. Biarlah dia buat pilihan sendiri. Baik katanya, baiklah kata kita. Dia bahagia, kita tumpang gembira," balas ayah.
" Nampaknya abang bersetuju dengan gadis pilihan anak kita tu?" tanya ibuku pula.
" Kita nak buat macam mana kalau orang yang punya diri sudah berkenan dengan budak tu. Amri yang nak berkahwin, bukannya kita. Lagipun anak kita tu sudah besar panjang. Sudah mampu mendirikan rumah tangga. Biarlah dia sendiri memilih calun isterinya. Baik kata Amri, baiklah kata saya. Orang nak mendirikan masjid, berdosa kalau kita menghalangnya." kata ayah.
" Tetapi, saya takut kalau Amri salah membuat pilihan. Banyak benar yang saya dengar tentang cerita gadis Negeri Sembilan. Itulah yang membuatkan saya susah hati. Menyesal kemudian tidak ada faedahnya." kata ibuku pula.
" Dengar suara enggang, makan buah beluluk. Dengar cerita orang, awak nanti yang masuk lubuk," kata ayah sambil ketawa.
" Janganlah ketawa. Saya susah hati ni," ujar ibuku.
" Kalau anak kita dah berkenan awak nak buat macammana?. Awak nak minta tolong kepada dukun Mamat supaya Amri membenci gadis Negeri Sembilan tu?" tanya ayah.
" Tidak sekejam itu hati saya ni, bang. Saya masih tahu hukum hakam agama kita. Cuma yang saya kuatir kalau benar seperti cerita yang saya dengar tu."
" Abang tidak kisah siapa orang yang dipilih oleh Amri untuk menjadi isterinya. Asalkan dia bahagia, sudah."
" Habis tu, macam mana saya nak buat, bang?" tanya ibu. Dia nampak gusar.
" Suruh Amri bawa budak tu ke rumah kita pada hari Ahad depan ni. Nanti kita sama-sama tengok bakal menantu kita tu. Lepas tu baru awak buat keputusan. Ini belum apa-apa lagi awak dah kata tidak setuju!" jawab ayah.
" Baiklah," kataku pula sambil tersenyum. " Hari Ahad depan saya bawa gadis pilihan saya tu. Mak dan ayah boleh bertemu bual dengannya. Saya yakin mak dan ayah mesti berkenan dengan gadis Negeri Sembilan tu."
Paaada pagi Ahad itu ayah dan ibuku tidak keman-mana. Mereka menanti kedatangan Gadis Negeri Sembilan. Masing-masing seolah tidak sabar lagi hendak melihat tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah kami.
Tepat jam 11 pagi kereta yang kami naiki sampai di halaman rumah. Ayah dan ibu segera datang menyambut kami. Ibuku merenung Hayati seolah sedang membuat penilaian.
"Saya perkenalkan, inilah Hayati bakal isteri Amri," kataku memperkenalkan Hayati kepada ayah dan ibu.
" Apa khabar Mak Cik," tanya Hayati sambil mencium tangan ibuku.
" Baik..." jawab ibu sambil matanya terus merenung gadis di hadapannya.
" Kenapa biarkan mereka tercegat saja di laman rumah. Jemputlah tetamu kita tu naik," kata ayah pula.
Ibu menjemput Hayati naik ke rumah. Kami duduk di ruang tamu. Dan sejak tadi mata ibu masih tidak pernah lekang mengawasi gerakgeri Hayati. Mungkin ibu mahu melihat keburukan atau menilai kebaikan bakal menantunya. Tetapi aku yakin ibu tidak nampak cacat celanya gadis Negeri Sembilan yang menjadi pilihanku. Orangnya nampak baik dan berbudi bahasa. Dan hati ibuku merasa senang bila Hayati membantunya membuat kerja-kerja di dapur. Hayati juga yang menyediakan masakan tengahhari.
Ibu dan ayah nampak berselira menikmati makanan tengah hari. Gulai masak lemak cili api yang dimasak oleh Hayati benar-benar membuka selera. Selesai makan Hayati juga yang ke dapur membasuh dan mengemas pinggan mangkuk. Kemudian Hayati membantu mengemaskan rumah. Selesai menunaikan sembahyang Asar barulah kami meminta diri untuk pulang. Hayati sekali lagi bersalaman dengan ibuku.
" kalau begini baik budi bahasanya, mak setuju Hayati menjadi isteri kamu," kata ibu ketika aku dan Hayati masuk ke dalam kereta.
" Alhamdulillah…minggu depan giliran kami pulak ke rumah kamu, Hayati," balas ayah pula.
Itulah saat yang aku rasa paling gembira.
TAMAT




MENJELANG HARI PERKAHWINAN
Benarkah perkahwinan itu satu perjudian?. Jika bernasib baik akan bahagia tetapi jika tersalah pilih akan merana seumur hidup. Benarkah begitu?. Sesungguhnya dia tidak pasti kerana dia belum berkahwin. Tetapi saat bahagia itu akan menjelang tidak lama lagi.
Pagi itu dia bangun dari tidur lalu melihat wajahnya dalam cermin. Dia terkejut kerana wajahnya nampak hodoh. Mukanya pucat, bibirnya kering, rambutnya mengerbang kusut masai dan mulutnya berbau masam.
Dia berfikir sejenak. Bagaimana kalau suaminya melihat wajahnya dalam keadaan begini?. Mungkinkah kasih sayangnya akan pudar?. Selama ini setiap kali pertemuan dia akan menghiasi wajahnya dengan alat-alat solek. Dia menjaga tutur katanya supaya sentiasa sopan. Dia mengawal tingkah lakukan supaya disenangi oleh tunangnya. Tetapi setelah mereka menjadi suami isteri nanti, semuanya akan terserlah dan tidak ada lagi yang dapat disembunyikan. Dia menjadi cemas bila memikirkan semua itu.
Dia bergegas keluar lalu berkereta menuju ke rumah tunangnya. Dia berdiri di depan pintu dengan dada yang berdebar sambil memberi salam. Apabila pintu terbuka dia dan tunangnya sama-sama terkejut.
"Kenapa engkau datang ke rumah aku dipagi begini dan dalam keadaan begini?" tanya tunangnya.
"Aku perlu berjumpa engkau," jawabnya.
"Untuk apa?" tanya tunangnya lagi.
"Jemputlah aku masuk dulu."
"Jemputlah masuk tapi maaf kerana aku baru bangun dari tidur."
Dia masuk lalu duduk di sofa.
"Engkau belum menjawab pertanyaanku," kata tunangnya.
"Aku tidak mahu menipu engkau lagi."
"Menipu? Apa maksud awak?"
"Lihatlah wajahku ini. Aku mahu engkau melihat wajahku yang sebenar."
Tunangnya tiba-tiba ketawa. "Aku sudah melihat wajah awak sejak pertama kali kita bertemu."
" Tetapi itu bukan wajahku yang sebenar. Setiap kali kita bertemu aku solek wajahku supaya nampak cantik. Sekarang aku datang dengan wajah aku yang sebenar."
"Aku masih tidak faham. Berterus teranglah."
"Selama ini bila kita bertemu aku solek wajahku supaya engkau terpesona. Aku wangikan badanku supaya engkau terpukau. Sekarang aku tak mahu menipu lagi. Engkau lihatlah diriku yang semula jadi."
"Sekarang baru aku faham," kata tunangnya sambil tersenyum. "Awak juga boleh melihat keadaan diriku selepas bangun dari tidur. Aku juga belum mandi dan masih berseluar pendek. Adakah saya nampak hodoh?"
" Awak masih tampan."
" Awak juga masih cantik."
Dia dan tunangnya tertawa terbahak-bahak,.
Negeri Sembilan, 20hb Februari 2003
TAMAT.



HADIAH PALING BERHARGA
Oleh: Abdul Latip Talib
Rumah teres dua tingkat yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi itu adalah hadiah untuk isteriku pada hari jadinya yang ke 41. Aku fikir itulah hadiah paling berharga untuk seorang isteri yang telah memberi kebahagiaan dalam hidupku. Dan pada hari itu sebaik saja aku sampai di rumah isteriku pun bertanya, "Lupakah abang bahawa hari ini hari jadi saya?"
"Abang tidak lupa," jawabku cuba menyembunyikan kegembiraanku.
" Abang belum dapat gaji?" tanya isteriku lagi.
" Sudah…" jawabku sambil duduk di sofa. Penat lelah seharian bekerja terasa hilang bila melihat wajah isteri dan anak.
"Biasanya pada setiap hari jadi saya abang belikan hadiah. Apakah abang sudah tidak sayang lagi?"
" Abang tidak lupa dan abang masih sayang."
" Habis tu…mana hadiahnya?" tanya isteriku lagi sambil menunjuk pada tanganku yang kosong.
" Kali ini abang akan beri hadiah yang paling berharga."
" Mana hadiahnya? Saya dah tak sabar ni. Cepatlah bagi hadiah tu…"
Oleh kerana aku juga tidak sabar hendak menyampaikan berita gembira itu maka aku pun menghulurkan sampul surat besar yang aku kepit sejak dari tadi.
" Hadiahnya ada dalam sampul surat ini,"
" Abang, janganlah bergurau."
" Buka dulu dan tengok apa isinya."
Isteriku mengambil sampul surat itu lalu membuka dan membaca surat yang terkandung didalamnya. Dahinya nampak berkerut.
" Surat apa pulak ni. Abang nak kawin lagi satu ke?"
" Surat perjanjian sewa beli rumah. Dan rumah itu adalah hadiah sempena hari jadi awak."
Isteriku nampak terkejut dan gembira. Dia melahirkan kegembiraanya dengan meletakkan surat itu ke dada sambil mendongak ke langit lalu mengucapkan kesyukuran dengan linangan air mata.
Dapat kurasakan dia semakin sayang kepadaku. Gerak gerinya menjadi lebih pengasih dan lebih riang. Dia segera menghebahkan berita gembira itu kepada ayah,ibu dan adik beradiknya.
" Kami sudah memiliki rumah sendiri. Ayah, Mak,adik,kakak dan abang bolehlah datang selalu ke rumah kami," beritahu isteriku melalui telefon dan mereka juga turut gembira.
Keesokannya, aku membawa isteri dan anakku melihat rumah itu. Sebaik saja kami sampai maka isteriku pun berkata; " Rumah macam inilah yang saya impikan. Ia jauh dari kesibukan kota dan suasananya yang tenteram baik untuk pembesaran anak kita."
Kami berdiri di halaman rumah dan isteriku berdiri di sisiku sambil tersenyum riang manakala Syafiq pula meronta-ronta dari peganganku minta dilepaskan namun aku merasa bimbang melepaskan dia berjalan di sekitar kawasan rumah yang belum dibersihkan itu.
Isteriku pun membayangkan masa depan kami di rumah itu. " Rumah ini mempunyai tiga bilik tidur. Tetapi apabila anak-anak kita bertambah maka rumah ini perlu diubah suai supaya anak-anak kita merasa selesa. Mereka akan dapat seorang satu bilik ."
" Umur awak sudah 41 tahun mana mungkin dapat anak lagi," balasku pula.
Entah kenapa selepas 20 tahun kami berkahwin barulah mendapat seorang anak. Bagiku itu sudah memadai daripada tidak mendapat anak lansung. Isteriku cuba mengalih tajuk perbualan.
" Kita akan bena taman bunga di halaman rumah ini. Saya akan menanam pokok- pokok bunga dan saya akan menjaganya sendiri. Oh ya, abang suka bunga apa?. Sudah lama kita kahwin saya masih belum tahu bunga yang abang suka."
" Bunga hanya indah di mata."
" Habis tu, apa yang abang suka?"
" Abang akan tanam pokok buah-buahan dikeliling rumah kita."
" Pokok bunga juga mesti ditanam supaya halaman rumah kita nampak cantik dan wangi."
" Abang ingat semasa kecil dulu di belakang rumah kami ada dusun buah-buahan. Bayangkan betapa seronoknya abang setiap kali buah bermusim."
Namun isteriku seolah tidak mendengar kata-kataku. " Rumah ini adalah Syurga kita. Kita akan bahagia tinggal disini sehingga ke akhir hayat."
Selepas itu aku juga tidak pasti apa lagi yang dikatakan oleh isteriku. Fikiranku melayang jauh dan sesekali aku cuma menjawab ‘ya’ dan ‘tidak’ tanpa menghiraukan butir-butir percakapannya.
Aku teringat zaman kanak-kanakku yang jauh dari segi masa dan ruang. Rumah kami hanya berdinding papan dan beratap zing yang sederhana besarnya. Tetapi rumah itu tidak ada garaj kerana ayahku tidak pernah memiliki kereta seumur hidupnya dan tidak ada bilik pembantu rumah kerana ibuku suri rumah sepenuh masa. Rumah kami terletak berhampiran sebuah pekan kecil dan tidak jauh dari situ terdapat kawasan tanah lapang.
Aku masih ingat di belakang rumah kami ada 5 pokok rambutan yang rendang, 3 pokok manggis, 4 pokok langsat dan berpuluh batang pokok durian. Di tengah dusun itu ada sebuah pondok kecil tempat ayah melepas penat atau menunggu buah durian gugur. Dan tidak jauh dari pondok itu ada sebuah sungai yang jernih airnya.
Ayahku seorang yang tidak betah duduk di rumah kerana dia lebih suka menghabiskan masanya di luar. Setiap hari ada saja kerja yang dilakukannya. Kalau tidak menebas anak-anak kayu, ayah menarah rumput atau menabur baja di perdu pokok buah-buahan. Apabila penat ayah mandi di sungai dan selepas mengambil wuduk dia menghabiskan masa di pondok itu dengan berzikir atau membaca al Quran.
Aku tidak pasti bila rumah itu dibena. Tetapi yang aku masih ingat ibuku amat sayang pada rumah itu dan selalu berkata bahawa rumah itu adalah hadiah paling berharga daripada ayahku.
Sering aku dengar ibu berkata; " Apabila kita berpindah ke rumah ini, hati Mak merasa tenang. Dan di rumah inilah kamu dilahirkan"
Namun ketenangan hidup yang kami rasakan tidak berkekalan kerana berlaku suatu peristiwa yang mengubah kehidupan kami serta merta. Aku masih ingat pada suatu petang jiran-jiran datang berkumpul di rumah kami. Mereka berbincang dengan serius manakala aku dan rakan-rakan sebaya yang tidak tahu apa-apa asyik bermain di halaman rumah. Sesekali aku terhidu bau buah durian kerana ketika itu musim buah durian gugur. Namun yang pasti kedatangan musim buah-buahan kali itu tidak mengembirakan hati ayah.
Peristiwa yang berlaku itu bukan sahaja telah mengubah hidup kami, malah telah meragut kedamaian dan kasih sayang antara kami. Sebenarnya aku pun tidak dapat mengingati peristiwa itu dengan terperinci, cuma yang aku ingat perkataan ‘ perang dunia kedua’ yang sering diucapkan oleh ayah dan kawan-kawannya. Malah kata-kata yang asing bagiku itu bukan sahaja selalu disebut-sebut oleh orang ramai yang berkumpul di rumah kami malah di surau dan di masjid juga mereka memperkatakannya.
Kulihat ayah tidak berminat lagi dengan dusun buah-buahan sebab dia lebih suka berkumpul dengan kawan-kawannya. Bila kutanya apa yang dibualkan oleh mereka, ayah berkata; " Tidak lama lagi askar Jepun akan masuk ke negara kita untuk berperang dengan Inggeris. Ayah harap Inggeris akan kalah."
Walaupun begitu Pak Senik jiran terdekat kami sering membantah cakap ayah. Kata Pak Senik " Jika Inggeris kalah, Jepun pula akan menjajah negara kita." Antara pendapat ayah dengan Pak Senik sering dibahaskan oleh orang dewasa dan mereka boleh berbincang perkara itu terus menerus berjam-jam lamanya.
Biasanya apabila orang ramai berkumpul, aku dan kawan-kawan yang sebaya akan membahagi diri kami kepada dua kumpulan iaitu ‘ Askar Inggeris’ dan " Askar Jepun’. Sudah tentu aku berada di pihak askar jepun kerana menyebelahi ayahku. Kemudian kami bermain perang olok-olok sehingga kami tercungap-cungap kepenatan.
Apabila tiba waktu malam aku akan masuk ke bilik tidur lebih awal dan sambil berbaring di katil aku memasang telinga mendengar perbualan ayah dengan kawan-kawannya di luar. Aku merasa seronok mendengar suara ayah memuji orang Jepun yang katanya akan membebaskan negara kita dari cengkaman penjajah Inggeris. Kemudian aku pun bayangkan rupa orang Jepun. Mereka tentunya lebih besar dan lebih tinggi daripada orang Inggeris. Kemudian aku terlena.
Tiba-tiba aku dikejutkan dari tidur. Terdengar bunyi semboyan serangan udara. Namun aku masih menganggap itu perkara biasa kerana beberapa hari sebelumnya, semboyang serangan udara selalu dibunyikan sebagai latihan perang. Tetapi bila kulihat rumah-rumah di keliling kami gelap gulita maka aku mula merasakan sesuatu yang aneh sedang berlaku.
" Kapal terbang jepun sudah datang!" jerit ayahku dan aku memasang telinga. Kedengaran bunyi dengungan enjin kapal terbang membelah keheningan pagi.. Bunyinya semakin lama semakin kuat.
" Askar-askar Jepun akan mengebom rumah kita!" ibuku nampak cemas sambil memeluk aku.
" Tidak," jawab ayahku dengan nada suara orang yang benar-benar yakin.
" Askar Jepun datang untuk membebaskan negara kita dari penjajah Inggeris."
Apabila cuaca semakin cerah aku lihat askar Inggeris berada dimana-mana. Wajah mereka nampak muram dan letih. Tiba-tiba kedengaran bunyi dengungan kapal terbang diikuti bunyi letupan yang amat kuat.
" Kapal terbang Jepun menggugurkan bom di kubu askar Inggeris," kata ayah gembira
Aku dengar bunyi tembakan yang tak henti-henti diikuti dengan bunyi letupan kuat yang semakin hampir pada rumah kami. .
" Kita mesti keluar dari rumah ini !" jerit ayah sambil menarik tangan aku dan tangan ibu.
" Bagaimana dengan barang-barang kita?" tanya ibu dengan nada suara yang cemas.
" Nyawa kita lebih berharga," jawab ayah tegas.
Kami segera keluar dari rumah lalu menggabungkan diri dengan orang ramai yang dalam ketakutan menuju kawasan lapang. Kata Pak Senik, lebih selamat kalau kami berada di kawasan lapang daripada berlindung dalam rumah kerana sasaran askar Jepun ialah rumah-rumah kediaman dan kubu askar Inggeris.
Aku tidak pasti berapa ramaikah yang berhimpun di kawasan lapang itu. Tetapi apa yang aku ingat kawasan itu penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing masuk ke lubang perlindungan yang disediakan.
" Asmah, mari kita masuk dalam lubang ini!" jerit ayahku sambil menarik tangan ibu.
Kami bersesak-sesak dalam lubang perlindungan itu. Ada yang menangis dan ada yang membaca ayat suci al Quran. Bunyi letupan tidak putus-putus dan asap hitam naik ke langit. Ketika aku mendongak ke langit kelihatan banyak kapal terbang berlegar di ruang udara betul-betul di atas kepala kami.
" Kenapa askar Jepun mengebom kita kalau hendak melawan Inggeris?" Ayah tidak menjawab pertanyaan ibuku.
"Ayah kata askar Jepun datang hendak menolong kita," kataku pula.
" Pergi jahanam dengan Jepun!" jerit Ayahku dengan marah bila melihat kapal terbang Jepun menggugurkan bom di kawasan rumah kami..
" Itu kapal terbang Jepun!" kata ibuku sambil menuding jarinya kearah sebuah kapal terbang yang terbang rendah betul-betul di atas kepala kami.
Dengan pantas aku keluar dari tempat perlindungan kerana ingin melihat askar Jepun dalam kapal terbang itu.. Adakah dia seperti yang aku bayangkan?. Namun semuanya berlaku dengan pantas. Ketika aku keluar dari lubang perlindungan ibuku menjerit lalu ikut keluar dan menghempapkan badannya ke atas tubuhku. Ketika itulah kapal terbang Jepun melayap begitu rendah sehingga dapat kurasakan bunyi enjinnya menggegarkan tubuhku. Tiba-tiba kapal terbang itu melepaskan tembakan ke arah kami diikuti bunyi jeritan.
Betapa pantasnya masa berlalu. Datangnya secara tiba-tiba dan perginya juga secara tiba-tiba. Dalam sekelip mata kapal terbang Jepun hilang dari pandangan. Letupan dari langit sudah tidak ada lagi diganti pula oleh suara jeritan dan hingar bingar di bumi.
" Ya Allah, isteriku parah!" Jerit ayahku sambil memangku tubuh ibuku.
Kulihat darah bercucuran keluar dari kepala dan belakang ibuku.. Ayah mendukung ibu dan membawanya pulang ke rumah. Tetapi alangkah hampanya kerana rumah kami sudah musnah. Dari bekas runtuhan rumah itu aku nampak seekor kucing sedang merayau-rayau mencari anaknya.
Ayahku seperti orang kebingungan. Dia berdiri sambil memandang rumah kami yang sudah musnah. Kemudian ayah menatap wajah ibuku yang masih dalam dukungannya. Ayah menangis terisak-isak. Sesuatu yang tak pernah kulihat sebelum itu.
" Kehidupan aku sudah musnah!" jerit ayah dengan nada suara yang amat pilu.
Setelah semua mayat-mayat dikebumikan, ayah mendakap erat tubuhku sambil berkata; " Ayah akan pergi menuntut bela. Apabila perang tamat ayah akan kembali untuk membina hidup baru."
Tetapi setelah perang tamat dan setelah negara kita mencapai kemerdekaan, ayah tidak pernah mengotakan janjinya. Aku tidak pasti samaada ayah masih hidup atau sudah tidak ada lagi.
Tiba-tiba aku merasa bahuku digoncang; " Apa yang abang menungkan??" tanya isteriku.
Bayangan rumah yang musnah dan darah ibu yang membasahi bajunya masih segar dibenakku.
" Peperangan hanya akan memusnahkan kehidupan kita!".
" Apa yang abang cakap ni?"
" Mereka mencipta senjata hanya untuk memusnahkan harta dan nyawa." "
" Peperangan hanya berlaku di negara lain, bang. Negara kita aman dan kita hidup bahagia di sini."
" Awak tahu tak?" tanyaku dan sebelum dia sempat menjawab aku menyambung kata-kataku.
" Keamanan yang kita nikmati sekarang adalah hadiah paling berharga."
TAMAT

0 Comments:

Post a Comment

<< Home