CERPEN

Thursday, November 25, 2004

GERUH

GERUH
Oleh: Abdul Latip Talib
Pagi itu ketika cuaca baru terang-terang tanah dan embun masih basah di hujung rumput, Mandar Tuai Pasong sudah turun ke tanah lalu menuju ke hutan yang terletak di belakang kawasan rumah panjang Setia Naga. Dengan hanya berkaki ayam, berseluar pendek dan bersenjatakan sebilah parang panjang, dia meredah semak belukar dengan semangat yang tidak pernah luntur. Tangan kanannya menggenggam erat parang panjang dan sesekali parang itu dilibas ke kiri dan ke kanan mencantas anak-anak kayu di lorong yang dilaluinya. Apabila berasa penat dia berhenti berehat di bawah se pohon Ara sebesar pemeluk sambil membuang pandangan ke puncak Gunung Santubung yang nampak berbalam diselaputi kabus. Gunung yang tersergam megah itu menjadi lambang keteguhan semangatnya. Dia tidak akan berganjak dari keputusan yang telah diambilnya dan itu adalah muktamad.
" Aku tak akan benarkan anak kita berkahwin dengan pemuda Melayu itu. Keputusan aku adalah muktamad. Dan kau tidak boleh membantahnya!" dia teringat kata-kata yang dihamburkan kepada Bulan, isterinya malam tadi.
" Saya bukan nak membantah. Cuma ingin kepastian sahaja. Kenapa abang tak setuju?. Adakah kerana Syafiq itu Islam?. Bukan tak pernah gadis Iban memeluk Islam kerana berkahwin dengan orang Melayu. Kalau mereka sudah suka sama suka, biarkan saja mereka berkahwin."
" Aku bantah bukan saja kerana dia Islam tetapi hendak menjaga keturunan kita. Awak bukan tidak tahu, anak kita hanya Aghata seorang. Sekiranya dia berkahwin dengan orang Melayu habislah keturunan kita. Aku nak keturunan keluarga kita dipertahankan. Kerana itu Aghata mesti berkahwin dengan Ambing. Bukan Syafiq. Tambahan pula kita sudah berjanji hendak mengahwinkan mereka sejak kecil."
Bulan tidak berkutik lagi. Walaupun dia berasa belum puas lagi meluahkan apa yang tersirat di hatinya namun apalah gunanya kerana dia tahu sikap suaminya yang pantang di sanggah kata-katanya. Tambahan pula adalah satu kesalahan dalam masyarakat Iban bila isteri membantah kemahuan suami.
" Abang juga menentang usaha pengurus ladang itu hendak membuka hutan untuk di tanam pokok kelapa sawit?" tanya Bulan cuba mengalih tajuk perbualan.
" Hutan itu menjadi tempat berkumpul roh-roh nenek moyang kita yang telah mati. Hutan itu juga tempat aku dan kawan-kawanku berburu babi, pelanduk, kijang dan sebagainya. Di situlah kami mencari rezeki. Kalau hutan ini dimusnahkan, roh-roh nenek moyang akan menyumpah.Kalau kawasan ini diratakan semua binatang akan lari kerana tidak ada tempat untuk bersembunyi. Kerana itu aku tidak setuju dengan cadangan tersebut. Kawasan hutan itu tidak boleh dimusnahkan. "
Kata-kata itu bukan saja perlu dipahatkan ke hati isterinya malah kepada semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Dia mahu kata-kata itu dipahatkan di dada masing-masing agar mereka bersatu padu mempertahankan hak mereka. Cukuplah setakat 100 hektar sahaja kawasan tanah milik mereka yang di penuhi pokok rumbia telah dimusnahkan untuk diganti dengan pokok kelapa sawit. Dia tidak akan membenarkan projek itu diluaskan lagi. Cukup sekadar yang sudah ada.
" Tanah di kawasan itu memang sesuai dengan tanaman pokok Kelapa Sawit. Tengoklah projek percubaan kami di kawasan seluas 100 hektar itu telah berjaya. Pokok Kelapa sawit tumbuh subur dan tidak lama lagi akan mengeluarkan hasil. Kerana itu kami bercadang hendak membuka kawasan hutan itu untuk diusahakan dengan tanaman pokok Kekapa Sawit. Tanaman itu lebih menguntungkan berbanding pokok sago "
Kata-kata yang diucapkan oleh anak muda itu membuat mandar Tuai Pasong tidak lena tidur. Terbayang di matanya hutan yang menjadi kesayangannya itu dimusnahklan. Pohon-pohon kayu sepemeluk, dua pemeluk dan tiga pemeluk akan tumbang menyungkur bumi. Malah anak-anak kayu sebesar jari kelingking juga akan turut musnah. Itulah yang paling menakutkannya. Dia tidak sanggup melihat hutan yang menjadi nadi kehidupannya itu dimusnahkan.
" Mereka bukan hendak memusnahkan hutan. Tetapi hendak menanam pokok kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Hasil dari tanaman itu akan dijual dan keuntungannya diserahkan kepada kita. Kerana itu kita mesti beri sokongan kerana projek itu bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Iban di sini. Kerajaan tidak mahu kaum Iban ketinggalan dalam arus pembangunan. Kaum Iban di Naga Setia mesti maju seperti kaum-kaum lain di negara ini."
Kata-kata Aghata itu turut terngiang di telinganya dan menambah rasa cemas di hatinya. Antara kata-kata Syafiq dengan kata-kata Aghata silih berganti. Baginya kata-kata itu terlebih lagi kata-kata anak perempuannya yang disuruh belajar tinggi-tinggi itu hanyalah untuk mematahkan semangat juangnya. Dia tidak akan tersihir dengan kata-kata tersebut. Sebagai penolong tuai rumah panjang dia mesti berpendirian teguh, seteguh Gunung Santubung.
" Apabila hutan itu di musnahkan, semua binatang akan lari. Kemajuan apa namanya kalau kita tidak dapat lagi menjerat babi atau pelanduk?. Kemajuan apa namanya kalau kita kehilangan sumber rezeki?. Sanggupkah kalian kehilangan hutan yang kita warisi dari datuk nenek moyang kita dahulu?".
Dia perlu mendapatkan sokongan dari semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Tanpa sokongan padu dari mereka maka hutan yang menjadi lambang kecekalan hati orang-orang Iban itu akan dimusnahkan. Berpuluh jentolak akan dihantar untuk membaham pokok-pokok di hutan itu. Monyet, tupai, burung dan semua binatang hutan akan lari jauh ke tengah belantara. Kerana itulah dia tidak rela perkara itu terjadi. Dia sanggup mempertahankan hutan itu walau terpaksa bergadai nyawa.
" Di zaman moden ini kita tidak boleh lagi bergantung hidup kepada hasil di hutan sahaja. Tambahan pula pihak kerajaan sudah melarang kita memburu binatang di hutan kerana haiwan tersebut dilindungi oleh akta pemuliharaan haiwan liar. Sesiapa yang engkar boleh di tangkap dan di dakwa ke mahkamah."
Dia hairan kenapa anaknya sendiri tidak menyokongnya?. Sepatutnya Aghata orang pertama yang memberi sokongan dan sanggup bersama mempertahankan hutan itu. Apakah Aghata sudah lupa hasil dari hutan itulah yang membesarkan dia. Rezeki yang dia dapat dari hutan itulah yang digunakan untuk menyekolahkan Aghata hingga sampai ke Universiti?.
" Aku cakap lain kau cakap pasal lain. Inilah akibatnya kalau hantar anak belajar tinggi-tinggi akhirnya jadi besar kepala. Sepatutnya kau menyokong cakap ayah bukan membantah. Sia-sia sahaja Apai hantar kau belajar sampai ke Universiti!"
Dia harap Aghata akan sedar dengan terjahan kata-katanya yang tajam itu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Anak kesayangannya itu masih tidak memahaminya. Kata-kata yang keluar dari mulut anaknya masih mengundang permusuhan.
" Kerajaan tidak mahu masyarakat kita terus menerus hidup dalam kemiskinan. Makan dan minum kita tak menentu. Masih ramai kanak-kanak yang kekurangan zat kerana tidak mendapat makanan yang seimbang. Begitu juga dengan taraf kesihatan kita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain."
" Kenapa selama ini mereka tidak ambil peduli tentang kita?. Kita makan atau tidak, kita sakit atau sehat, kita berpanas atau berhujan, mereka lansung tak ambil peduli. Kenapa sekarang?"
" Corak pemerintahan sekarang sudah berubah. Kerajaan yang ada sekarang lebih prihatin dengan nasib rakyat. Mereka memang bersungguh-sungguh berkerja untuk rakyat bertujuan membela nasib rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya."
Pilihan raya?. Mandar Tuai Pasong tersenyum sinis bila mendengarnya. Baginya pilihan raya hanya datang 5 tahun sekali. Musim wakil rakyat datang menunjuk muka meraih simpati supaya keluar mengundi. Dan biasanya selepas pilihan raya mereka hilang entah kemana.
" Perdana Menteri kita sekarang sudah beri amaran kepada semua wakil rakyat supaya berkerja untuk membela nasib rakyat. Mereka yang tidak menjalankan tugas akan diambil tindakan. Kerana itulah sekarang mereka berkerja siang dan malam untuk membela nasib rakyat."
" Apai tak akan berganjak walau setapak pun ke belakang. Hutan itu tetap Apai pertahankan. Dan kau jangan lupa bahawa hutan itulah yang menghidupkan kita selama ini. Apai membesarkan kau melalui hasil dari hutan itu."
Sinar matahari mula menembusi daun-daun kayu di sekitar kawasan hutan itu. Mandar Tuai Pasong merenung sekali lagi puncak Gunung Santubung yang menjadi lambang kegagahan kaumnya. Kini gunung itu akan menjadi saksi di atas perjuangannya mempertahankan hutan itu. Dia meneruskan langkahnya. Kaki berkematu tebal itu diayun mengikut permukaan tanah yang dipijaknya. Kadang-kadang terasa kaki kematu tebalnya memijak permukaan tanah yang rata. Ada kalanya pula terasa berpijak di tanah yang tinggi. Sesekali apabila kakinya tersandung pada tunggul kayu atau tersangkut pada akar liar yang menjalar, langkahnya tersekat. Tubuh tua yang berusia 70 tahun itu terhuyung hayang hampir menyembah bumi. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus meredah hutan belantara itu.Sejak dia kecil hutan itu adalah dunianya. Segala ceruk hutan itu telah diterokanya. Di hutan itulah dia mewarisi kemahiran menjejak binatang buruan atau memasang perangkap babi, pelanduk atau yang lebih besar seperti rusa atau seladang.
Dia terasa baju yang dipakainya lencun oleh peluh. Mukanya berminyak dan sudah berkali-kali dikesat dengan tuala kusam yang dibawanya. Nafasnya kini mula termengah-mengah. Namun Kaki berkematu tebal itu terus dihayunnya. Tetapi pergerakannya kian lemah dan tidak lagi tersusun. Permukaan tanah dirasakan tinggi rendah. Terasa benar kudrat mudanya sudah hilang yang tinggal cuma tenaga tua yang semakin layu. Pun begitu dia tetap tidak akan mengalah. Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada itulah dia akan terus memperjuangkan haknya.
Pada mulanya dia menyangka projek tanaman Kelapa Sawit itu cuma seluas 100 hektar sahaja. Kerana itu dia bersetuju bila pihak Felcra hendak memajukan tanah terbiar yang terdapat di sekitar kawasan rumah panjang itu. Tambahan pula sebelum itu pihak kerajaan sudah berkempen supaya tanah terbiar yang tidak mampu diusahakan sendiri oleh pemiliknya hendaklah diserahkan kepada ejensi kerajaan untuk memajukannya. Akibat projek yang disokongnya itu, semua pokok Sagu atau rembia di tanah tersebut habis ditebang. Walaupun pada mulanya ada juga anak-anak buahnya yang menentang kerana pokok sagu itu berguna kepada mereka, tetapi dia berjaya memujuk mereka dengan alasan menyahut seruan kerajaan untuk memajukan tanah-tanah terbiar. Tambahan pula itu cuma projek percubaan sahaja. Jika tidak berjaya, mereka boleh menanam semula pokok rembia di kawasan tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan projek percubaan tanaman kelapa sawit itu telah berjaya. Kawasan yang dulunya semak belukar yang hanya ditumbuhi pokok-pokok sagu kini di hiasi dengan deretan pokok kelapa sawit. Pokok itu nampak subur dan kabarnya tidak lama lagi akan mula mengeluarkan hasil. Dia juga berasa bangga kerana ramai anak-anak buahnya yang berkerja di ladang itu sebagai boroh. Dia berpendapat cukuplah sekadar 100 hektar sahaja tanah yang diusahakan dengan tanaman Kelapa Sawit. Buat apa nak ditambah lagi. Janganlah seperti beri betis hendakkan peha. Kerana itu bila ada cadangan hendak menebang kawasan hutan itu dia yang mula-mula membantah.
Pada mulanya dia menyangka apabila dia tidak setuju maka pihak yang berkenaan membatalkan sahaja cadangan itu kerana dia adalah Mandar Tuai Rumah Panjang. Semasa ketiadaan Tuai dialah yang mengambil alih tanggung jawab itu. Sepatutnya apa kata dia mesti di dengar. Putih katanya maka putihlah jadinya. Kalau hitam katanya maka hitamlah jadinya. Itulah yang biasanya berlaku sejak turun temurun.
Namun apabila dia membalik-balikkan semula segala percakapan anak-anak buahnya termasuk cakap anaknya sendiri, hati tuanya mula berasa kecut. Dia berasa amat tersinggung dan resah. Kuasanya sebagai penolong ketua Rumah Panjang mula tergugat. Sudah ada yang berani menyanggah kata-katanya. Suaranya tidak lagi digeruni. Kata-katanya sudah ada yang berani membantahnya. Paling menggerunkan hatinya apabila membayangkan kawasan hutan itu akan dimusnahkan. Pokok-pokok kayu sepemeluk dua pemeluk dan tiga pemeluk akan ditumbangkan. Kawasan hutan itu akan diratakan. Bukit-bukit yang memagari kawasan hutan itu akan digondolkan seperti kepala yang baru bercukur rambut. Paling dia kesal kerana anak dari darah dagingnya sendiri yang menyokong cadangan untuk memusnahkan kawasan hutan itu. Dia rasa menyesal hantar anaknya sekolah tinggi-tinggi. Terpaksa keluar duit yang banyak. Terpaksa menangung rindu bertahun-tahun kerana anaknya duduk di asrama. Tetapi bila sudah jadi pandai dia menentang cakap ayahnya sendiri.
" Apai sudah tua. Elok berehat saja dan serahkan tanggung jawab itu kepada orang yang lebih muda. Mereka lebih berfikiran terbuka dan berpelajaran."
Mahu saja dia menjerit sekuat hati bila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh anaknya itu. Dia mengemam dua ulas bibir tebalnya yuang sudah lisut itu. Kedut di dahinya membayangkan dia benar-benar sedang marah.
Dia melihat jalur-jalur cahaya matahari semakin banyak menerobos celah-celah daun di sekitar kawasan hutan itu. Bunyi siamang bersahut-sahutan bagaikan irama yang begitu mengasyikkan. Namun dia semakin keletihan. Tambahan pula sudah tiga perangkap yang dilawatinya masih belum mengena. Kemanakah perginya binatang hutan itu?. Dia mengomel sendirian. Terasa ada gigitan di celah jari kaki. Apabila dia tunduk memeriksa kelihatan tiga ekor pacat sedang enak menghisap darahnya. Dengan pantas pacat-pacat itu dicabut dari jari kakinya lalu di cencang dengan parang panjangnya. Dia membayangkan pacat-pacat itu adalah mereka yang datang hendak memusnahkan kawasan hutan itu. Mereka diibaratkannnya seperti lintah yang ingin menghisap darah.
Mandar Tuai Pasong sampai di kawasan yang agak tinggi. Dari situ dia dapat menghalakan pandangannya ke arah ladang Kelapa Sawit yang nampak di kejauhan. Dulu kawasan itu penuh dengan pokok Sagu yang menjadi makanan mereka sejak turun temurun. Di celah pokok-pokok Sagu itu di tanam pokok lada, terung dan berbagai lagi. Itulah tanaman turun temurun masyarakat Iban di kawasan itu. Walaupun tidak banyak pokok yang ditanam tetap mengeluarkan hasil. Tetap menjadi sumber rezeki masyarakat Iban sejak zaman dahulu. Tetapi kini pokok Sago itu sudah tidak ada lagi. Yang ada cuma pokok kelapa sawit yang buahnya tidak boleh dimakan.
Kaki kematu tebal yang disalut tanah lecak itu dihayun lagi. Dia cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan langkahan kakinya. Jerat-jerat yang dipasangnya perlu diperiksa dengan segera. Langkahnya kian panjang ketika menuruni denai yang ditumbuhi pokok mensiang dan keladi hutan. Selalunya jerat di kawasan itu mengena sebab kawasan itu tempat babi lalu lalang memcari makan. Namun dia berasa hampa bila mendapati jerat itu juga kosong.
" Kalau Apai dah ada duit tak payah lagi menjerat babi di hutan. Dengan duit itu Apai boleh ke pekan membeli apa saja yang Apai mahukan. Di pasar semuanya ada. Ikan, daging dan sayur semuanya lengkap. Apai tak perlu lagi meredah hutan tebal itu setiap hari."
Dia cuba mencari kebenaran kata-kata anaknya itu. Memang betul, kalau banyak duit semua boleh dibeli tetapi adakah dia akan dapat banyak duit kalau membenarkan kawasan hutan itu dimusnahkan?. Projek tanaman Kelapa Sawit seluas 100 hektar itu telah berjaya. Tetapi apa yang dia dapat dari projek tersebut?. Menunggu keluar hasil entah bila. Mana tahu apabila buah itu dijual nanti duitnya masuk ke poket orang lain.
" Apai sudah tua. Duduk berehat sajalah di rumah.Buat apa nak bersusah payah meredah hutan belantara untuk mencari rezeki yang belum tentu dapatnya."
" Siapa kata Apai sudah tua?. Apai masih kuat. Masih mampu meredah hutan belantara. Masih mampu menjerat babi. Kelmarin bila Apai dapat seekor babi, Apai kandar babi itu seorang diri dari hutan hingga ke rumah panjang. Itu buktinya Apai masih bertenaga. "
Jerit pekik monyet yang bergayut-gayutan dihujung dahan mengejutkan Mandar Tuai Pasong. Dia rasa terhibur lalu mendongakkan kepalanya untuk menyaksikan drama kejar mengejar lompat melompat sekumpulan monyet itu. Memang benar dia berasa terhibur menyaksikan telatah monyet-monyet itu. Tiba-tiba dilihatnya semua monyet-monyet itu berhenti melompat lalu menyeringai menunjukkan taring ke arahnya. Dia berasa seperti monyet-monyet itu sedang mengejeknya.
" Mandar Tuai memang dah tua tak mampu lagi mempertahan kan hutan ini. Kalau hutan ini dimusnahkan bukan kami saja yang kehilangan tempat tinggal, Mandar Tuai juga kehilangan rezeki kerana tidak ada tempat lagi untuk berburu.’
"Aku berjanji akan pertahan hutan ini. Tidak sesiapa yang boleh memusnahkannya. Percayalah. Aku berjanji akan pertahankan milik kita ini!"
Mandar Tuai Pasong seolah sedang berbicara dengan pokok-pokok dan monyet-monyet. Namun tidak ada yang memahami kata-katanya. Dia berasa penat lalu bersandar ke sebatang pokok sebesar sepemeluk. Mungkin pokok itu seusia dengannya. Kalau hutan itu di musnahkan maka pokok yang besar itu juga akan musnah. Dia teringat kata-kata seorang pelancong orang puteh yang pernah berkunjung ke rumah panjang.
" Mereka beriya sangat hendak membuka hutan itu kerana hendak mengambil kayu balaknya. Yang mengaut keuntungan nanti ialah taukeh-taukeh balak dan pegawai-pegawai kerajaan bukannya kaum Iban. Sepatutnya kamu mesti menentang usaha untuk memusnahkan kawasan hutan semula jadi ini. ia sesuatu yang amat bernilai bagi kamu dan generasi kamu. "
Mandar Tuai Pasong teringat pula kata-kata Ah Seng yang selalu datang ke rumah panjang membeli lada atau apa saja hasil tanaman orang-orang Iban untuk dibawanya ke pekan. Sebagai peraih dia mendapat keuntungan sebagai orang tengah.
" Apabila hasil kelapa sawit itu di jual di kilang yang mengaut untung ialah taukeh besar. Pegawai besar. Orang-orang Iban akan menggigit jari," begitu pendapat Ah Seng.
Seorang pelancung yang mengaku sahabat alam sekitar pula mengatakan, apabila hutan itu ditebang cuaca yang sejuk akan bertukar panas kerana tidak ada lagi pokok-pokok kaya yang melindungi muka bumi. selain itu katanya lagi, batang oya, batang Igan dan semua batang-batang di sekitar kawasan itu akan tercemar kerana tanah lumpur akan turun dari bukit-bukit yang telah digondolkan.
kata-kata yang diucapkan oleh mereka itu bertali arus kedengaran di telinganya. Ini menambahkan lagi kebenciannya kepada mereka yang cuba memusnahkan hutan kesayangannya itu. Dia terus meredah hutan dan menghayun tapak kakinya yang berkematu tebal.
" Ngaummm!"
Dia terkejut mendengar suara itu. Apa yang pasti itu bukan suara Aghata. Bukan suara Syafiq. Bukan suara pelancung orang putih. Suara itu tidak pernah didengarnya dalam jarak yang begitu dekat.
Mandar Tuai Pasong membuka luas pandangannya. Dia memerhati kawasan sekitarnya dengan penuh debaran di dada. Dan bunyi mengaum itu bergema lagi. Kali ini semakin dekat. Ketika Mandar Tuai Pasong menoleh ke belakang dia terkejut apabila ternampak seekor harimau belang sebesar anak lembui jantan berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Mandar Tuai Pasong tiba-tiba berasa takut yang amat sangat. Keberaniannya cair apabila terserempak dengan haiwan yang ganas itu. Dia kini cuma ada dua pilihan. Lari menyelamatkan diri atau terpaksa berhadapan dengan raja rimba itu.
" Kau bukan musuh aku dan aku bukan musuh kamu. Jangan ganggu aku dan pergi dari sini!" kata Mandar Tuai Pasong dengan nada suara penuh ketakutan.
Namun harimau itu tidak memahami apa yang diucapkan oleh penolong tuai rumah panjang itu. Naluri haiwannya mengatakan, ketika perut lapar tidak boleh membiarkan rezeki yang ada di depan mata. Harimau itu berkisar lalu berjalan perlahan ke arah kiri. Mandar Tuai Pasong dapat mengagak harimau itu sememangnya berniat jahat hendak menjadikannya mangsa. Dia mengumpul kekuatan. Tanga kanannya kejap menggenggam parang panjang. Dia tidak ada pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan nyawanya dia terpaksa bertarung dengan harimau itu. Dia berasakan semangat pahlawan Iban perlahan-lahan menyerap ke dalam tubuhnya.
Sebaik saja harimau itu menerkam, dengan sekuat tenaga tuanya yang masih ada dia melibaskan parang panjang di tangannya ke arah harimau itu. Dia dapat lihat mata parang itu tepat mengenai bahagian kepala harimau. Namun tidak berjaya melukainya kerana berbulu tebal. Atau mungkin juga libasan parangnya tidak kuat. Dan Harimau itu bersedia untuk menerkam kali kedua. Baru kini dia sedar tenaga tuanya tidak mampu menghadapi harimau itu. Hanya dengan senapang patah sahaja harimau itu dapat ditewaskan. Kerana itu mustahil dia boleh membunuhnya kalau cuma bersenjatakan parang.
Mandar Tuai Pasong mencuri pandang jika ada pokok yang boleh dipanjatnya. Namun pokok di sekelingnya besar belaka dan dia pasti tidak akan mampu memanjatnya. Ketika itu yang terlintas dalam fikiran Mandar Tuai Pasong ialah melarikan diri.
Dia mengumpul segenap tenaga lalu melarikan diri dari harimau yang kelaparan itu. Baru beberapa langkah dia berlari, tiba-tiba dia terasa badannya di hempap oleh benda keras dari arah belakang. Tengkuknya seperti di cengkam oleh sesuatu. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya. Dia cuba menjerit tapi suaranya tersumbat. Dan pandangannya gelap.

1 Comments:

Post a Comment

<< Home