CERPEN

Thursday, November 25, 2004

GERUH

GERUH
Oleh: Abdul Latip Talib
Pagi itu ketika cuaca baru terang-terang tanah dan embun masih basah di hujung rumput, Mandar Tuai Pasong sudah turun ke tanah lalu menuju ke hutan yang terletak di belakang kawasan rumah panjang Setia Naga. Dengan hanya berkaki ayam, berseluar pendek dan bersenjatakan sebilah parang panjang, dia meredah semak belukar dengan semangat yang tidak pernah luntur. Tangan kanannya menggenggam erat parang panjang dan sesekali parang itu dilibas ke kiri dan ke kanan mencantas anak-anak kayu di lorong yang dilaluinya. Apabila berasa penat dia berhenti berehat di bawah se pohon Ara sebesar pemeluk sambil membuang pandangan ke puncak Gunung Santubung yang nampak berbalam diselaputi kabus. Gunung yang tersergam megah itu menjadi lambang keteguhan semangatnya. Dia tidak akan berganjak dari keputusan yang telah diambilnya dan itu adalah muktamad.
" Aku tak akan benarkan anak kita berkahwin dengan pemuda Melayu itu. Keputusan aku adalah muktamad. Dan kau tidak boleh membantahnya!" dia teringat kata-kata yang dihamburkan kepada Bulan, isterinya malam tadi.
" Saya bukan nak membantah. Cuma ingin kepastian sahaja. Kenapa abang tak setuju?. Adakah kerana Syafiq itu Islam?. Bukan tak pernah gadis Iban memeluk Islam kerana berkahwin dengan orang Melayu. Kalau mereka sudah suka sama suka, biarkan saja mereka berkahwin."
" Aku bantah bukan saja kerana dia Islam tetapi hendak menjaga keturunan kita. Awak bukan tidak tahu, anak kita hanya Aghata seorang. Sekiranya dia berkahwin dengan orang Melayu habislah keturunan kita. Aku nak keturunan keluarga kita dipertahankan. Kerana itu Aghata mesti berkahwin dengan Ambing. Bukan Syafiq. Tambahan pula kita sudah berjanji hendak mengahwinkan mereka sejak kecil."
Bulan tidak berkutik lagi. Walaupun dia berasa belum puas lagi meluahkan apa yang tersirat di hatinya namun apalah gunanya kerana dia tahu sikap suaminya yang pantang di sanggah kata-katanya. Tambahan pula adalah satu kesalahan dalam masyarakat Iban bila isteri membantah kemahuan suami.
" Abang juga menentang usaha pengurus ladang itu hendak membuka hutan untuk di tanam pokok kelapa sawit?" tanya Bulan cuba mengalih tajuk perbualan.
" Hutan itu menjadi tempat berkumpul roh-roh nenek moyang kita yang telah mati. Hutan itu juga tempat aku dan kawan-kawanku berburu babi, pelanduk, kijang dan sebagainya. Di situlah kami mencari rezeki. Kalau hutan ini dimusnahkan, roh-roh nenek moyang akan menyumpah.Kalau kawasan ini diratakan semua binatang akan lari kerana tidak ada tempat untuk bersembunyi. Kerana itu aku tidak setuju dengan cadangan tersebut. Kawasan hutan itu tidak boleh dimusnahkan. "
Kata-kata itu bukan saja perlu dipahatkan ke hati isterinya malah kepada semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Dia mahu kata-kata itu dipahatkan di dada masing-masing agar mereka bersatu padu mempertahankan hak mereka. Cukuplah setakat 100 hektar sahaja kawasan tanah milik mereka yang di penuhi pokok rumbia telah dimusnahkan untuk diganti dengan pokok kelapa sawit. Dia tidak akan membenarkan projek itu diluaskan lagi. Cukup sekadar yang sudah ada.
" Tanah di kawasan itu memang sesuai dengan tanaman pokok Kelapa Sawit. Tengoklah projek percubaan kami di kawasan seluas 100 hektar itu telah berjaya. Pokok Kelapa sawit tumbuh subur dan tidak lama lagi akan mengeluarkan hasil. Kerana itu kami bercadang hendak membuka kawasan hutan itu untuk diusahakan dengan tanaman pokok Kekapa Sawit. Tanaman itu lebih menguntungkan berbanding pokok sago "
Kata-kata yang diucapkan oleh anak muda itu membuat mandar Tuai Pasong tidak lena tidur. Terbayang di matanya hutan yang menjadi kesayangannya itu dimusnahklan. Pohon-pohon kayu sepemeluk, dua pemeluk dan tiga pemeluk akan tumbang menyungkur bumi. Malah anak-anak kayu sebesar jari kelingking juga akan turut musnah. Itulah yang paling menakutkannya. Dia tidak sanggup melihat hutan yang menjadi nadi kehidupannya itu dimusnahkan.
" Mereka bukan hendak memusnahkan hutan. Tetapi hendak menanam pokok kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Hasil dari tanaman itu akan dijual dan keuntungannya diserahkan kepada kita. Kerana itu kita mesti beri sokongan kerana projek itu bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Iban di sini. Kerajaan tidak mahu kaum Iban ketinggalan dalam arus pembangunan. Kaum Iban di Naga Setia mesti maju seperti kaum-kaum lain di negara ini."
Kata-kata Aghata itu turut terngiang di telinganya dan menambah rasa cemas di hatinya. Antara kata-kata Syafiq dengan kata-kata Aghata silih berganti. Baginya kata-kata itu terlebih lagi kata-kata anak perempuannya yang disuruh belajar tinggi-tinggi itu hanyalah untuk mematahkan semangat juangnya. Dia tidak akan tersihir dengan kata-kata tersebut. Sebagai penolong tuai rumah panjang dia mesti berpendirian teguh, seteguh Gunung Santubung.
" Apabila hutan itu di musnahkan, semua binatang akan lari. Kemajuan apa namanya kalau kita tidak dapat lagi menjerat babi atau pelanduk?. Kemajuan apa namanya kalau kita kehilangan sumber rezeki?. Sanggupkah kalian kehilangan hutan yang kita warisi dari datuk nenek moyang kita dahulu?".
Dia perlu mendapatkan sokongan dari semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Tanpa sokongan padu dari mereka maka hutan yang menjadi lambang kecekalan hati orang-orang Iban itu akan dimusnahkan. Berpuluh jentolak akan dihantar untuk membaham pokok-pokok di hutan itu. Monyet, tupai, burung dan semua binatang hutan akan lari jauh ke tengah belantara. Kerana itulah dia tidak rela perkara itu terjadi. Dia sanggup mempertahankan hutan itu walau terpaksa bergadai nyawa.
" Di zaman moden ini kita tidak boleh lagi bergantung hidup kepada hasil di hutan sahaja. Tambahan pula pihak kerajaan sudah melarang kita memburu binatang di hutan kerana haiwan tersebut dilindungi oleh akta pemuliharaan haiwan liar. Sesiapa yang engkar boleh di tangkap dan di dakwa ke mahkamah."
Dia hairan kenapa anaknya sendiri tidak menyokongnya?. Sepatutnya Aghata orang pertama yang memberi sokongan dan sanggup bersama mempertahankan hutan itu. Apakah Aghata sudah lupa hasil dari hutan itulah yang membesarkan dia. Rezeki yang dia dapat dari hutan itulah yang digunakan untuk menyekolahkan Aghata hingga sampai ke Universiti?.
" Aku cakap lain kau cakap pasal lain. Inilah akibatnya kalau hantar anak belajar tinggi-tinggi akhirnya jadi besar kepala. Sepatutnya kau menyokong cakap ayah bukan membantah. Sia-sia sahaja Apai hantar kau belajar sampai ke Universiti!"
Dia harap Aghata akan sedar dengan terjahan kata-katanya yang tajam itu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Anak kesayangannya itu masih tidak memahaminya. Kata-kata yang keluar dari mulut anaknya masih mengundang permusuhan.
" Kerajaan tidak mahu masyarakat kita terus menerus hidup dalam kemiskinan. Makan dan minum kita tak menentu. Masih ramai kanak-kanak yang kekurangan zat kerana tidak mendapat makanan yang seimbang. Begitu juga dengan taraf kesihatan kita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain."
" Kenapa selama ini mereka tidak ambil peduli tentang kita?. Kita makan atau tidak, kita sakit atau sehat, kita berpanas atau berhujan, mereka lansung tak ambil peduli. Kenapa sekarang?"
" Corak pemerintahan sekarang sudah berubah. Kerajaan yang ada sekarang lebih prihatin dengan nasib rakyat. Mereka memang bersungguh-sungguh berkerja untuk rakyat bertujuan membela nasib rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya."
Pilihan raya?. Mandar Tuai Pasong tersenyum sinis bila mendengarnya. Baginya pilihan raya hanya datang 5 tahun sekali. Musim wakil rakyat datang menunjuk muka meraih simpati supaya keluar mengundi. Dan biasanya selepas pilihan raya mereka hilang entah kemana.
" Perdana Menteri kita sekarang sudah beri amaran kepada semua wakil rakyat supaya berkerja untuk membela nasib rakyat. Mereka yang tidak menjalankan tugas akan diambil tindakan. Kerana itulah sekarang mereka berkerja siang dan malam untuk membela nasib rakyat."
" Apai tak akan berganjak walau setapak pun ke belakang. Hutan itu tetap Apai pertahankan. Dan kau jangan lupa bahawa hutan itulah yang menghidupkan kita selama ini. Apai membesarkan kau melalui hasil dari hutan itu."
Sinar matahari mula menembusi daun-daun kayu di sekitar kawasan hutan itu. Mandar Tuai Pasong merenung sekali lagi puncak Gunung Santubung yang menjadi lambang kegagahan kaumnya. Kini gunung itu akan menjadi saksi di atas perjuangannya mempertahankan hutan itu. Dia meneruskan langkahnya. Kaki berkematu tebal itu diayun mengikut permukaan tanah yang dipijaknya. Kadang-kadang terasa kaki kematu tebalnya memijak permukaan tanah yang rata. Ada kalanya pula terasa berpijak di tanah yang tinggi. Sesekali apabila kakinya tersandung pada tunggul kayu atau tersangkut pada akar liar yang menjalar, langkahnya tersekat. Tubuh tua yang berusia 70 tahun itu terhuyung hayang hampir menyembah bumi. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus meredah hutan belantara itu.Sejak dia kecil hutan itu adalah dunianya. Segala ceruk hutan itu telah diterokanya. Di hutan itulah dia mewarisi kemahiran menjejak binatang buruan atau memasang perangkap babi, pelanduk atau yang lebih besar seperti rusa atau seladang.
Dia terasa baju yang dipakainya lencun oleh peluh. Mukanya berminyak dan sudah berkali-kali dikesat dengan tuala kusam yang dibawanya. Nafasnya kini mula termengah-mengah. Namun Kaki berkematu tebal itu terus dihayunnya. Tetapi pergerakannya kian lemah dan tidak lagi tersusun. Permukaan tanah dirasakan tinggi rendah. Terasa benar kudrat mudanya sudah hilang yang tinggal cuma tenaga tua yang semakin layu. Pun begitu dia tetap tidak akan mengalah. Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada itulah dia akan terus memperjuangkan haknya.
Pada mulanya dia menyangka projek tanaman Kelapa Sawit itu cuma seluas 100 hektar sahaja. Kerana itu dia bersetuju bila pihak Felcra hendak memajukan tanah terbiar yang terdapat di sekitar kawasan rumah panjang itu. Tambahan pula sebelum itu pihak kerajaan sudah berkempen supaya tanah terbiar yang tidak mampu diusahakan sendiri oleh pemiliknya hendaklah diserahkan kepada ejensi kerajaan untuk memajukannya. Akibat projek yang disokongnya itu, semua pokok Sagu atau rembia di tanah tersebut habis ditebang. Walaupun pada mulanya ada juga anak-anak buahnya yang menentang kerana pokok sagu itu berguna kepada mereka, tetapi dia berjaya memujuk mereka dengan alasan menyahut seruan kerajaan untuk memajukan tanah-tanah terbiar. Tambahan pula itu cuma projek percubaan sahaja. Jika tidak berjaya, mereka boleh menanam semula pokok rembia di kawasan tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan projek percubaan tanaman kelapa sawit itu telah berjaya. Kawasan yang dulunya semak belukar yang hanya ditumbuhi pokok-pokok sagu kini di hiasi dengan deretan pokok kelapa sawit. Pokok itu nampak subur dan kabarnya tidak lama lagi akan mula mengeluarkan hasil. Dia juga berasa bangga kerana ramai anak-anak buahnya yang berkerja di ladang itu sebagai boroh. Dia berpendapat cukuplah sekadar 100 hektar sahaja tanah yang diusahakan dengan tanaman Kelapa Sawit. Buat apa nak ditambah lagi. Janganlah seperti beri betis hendakkan peha. Kerana itu bila ada cadangan hendak menebang kawasan hutan itu dia yang mula-mula membantah.
Pada mulanya dia menyangka apabila dia tidak setuju maka pihak yang berkenaan membatalkan sahaja cadangan itu kerana dia adalah Mandar Tuai Rumah Panjang. Semasa ketiadaan Tuai dialah yang mengambil alih tanggung jawab itu. Sepatutnya apa kata dia mesti di dengar. Putih katanya maka putihlah jadinya. Kalau hitam katanya maka hitamlah jadinya. Itulah yang biasanya berlaku sejak turun temurun.
Namun apabila dia membalik-balikkan semula segala percakapan anak-anak buahnya termasuk cakap anaknya sendiri, hati tuanya mula berasa kecut. Dia berasa amat tersinggung dan resah. Kuasanya sebagai penolong ketua Rumah Panjang mula tergugat. Sudah ada yang berani menyanggah kata-katanya. Suaranya tidak lagi digeruni. Kata-katanya sudah ada yang berani membantahnya. Paling menggerunkan hatinya apabila membayangkan kawasan hutan itu akan dimusnahkan. Pokok-pokok kayu sepemeluk dua pemeluk dan tiga pemeluk akan ditumbangkan. Kawasan hutan itu akan diratakan. Bukit-bukit yang memagari kawasan hutan itu akan digondolkan seperti kepala yang baru bercukur rambut. Paling dia kesal kerana anak dari darah dagingnya sendiri yang menyokong cadangan untuk memusnahkan kawasan hutan itu. Dia rasa menyesal hantar anaknya sekolah tinggi-tinggi. Terpaksa keluar duit yang banyak. Terpaksa menangung rindu bertahun-tahun kerana anaknya duduk di asrama. Tetapi bila sudah jadi pandai dia menentang cakap ayahnya sendiri.
" Apai sudah tua. Elok berehat saja dan serahkan tanggung jawab itu kepada orang yang lebih muda. Mereka lebih berfikiran terbuka dan berpelajaran."
Mahu saja dia menjerit sekuat hati bila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh anaknya itu. Dia mengemam dua ulas bibir tebalnya yuang sudah lisut itu. Kedut di dahinya membayangkan dia benar-benar sedang marah.
Dia melihat jalur-jalur cahaya matahari semakin banyak menerobos celah-celah daun di sekitar kawasan hutan itu. Bunyi siamang bersahut-sahutan bagaikan irama yang begitu mengasyikkan. Namun dia semakin keletihan. Tambahan pula sudah tiga perangkap yang dilawatinya masih belum mengena. Kemanakah perginya binatang hutan itu?. Dia mengomel sendirian. Terasa ada gigitan di celah jari kaki. Apabila dia tunduk memeriksa kelihatan tiga ekor pacat sedang enak menghisap darahnya. Dengan pantas pacat-pacat itu dicabut dari jari kakinya lalu di cencang dengan parang panjangnya. Dia membayangkan pacat-pacat itu adalah mereka yang datang hendak memusnahkan kawasan hutan itu. Mereka diibaratkannnya seperti lintah yang ingin menghisap darah.
Mandar Tuai Pasong sampai di kawasan yang agak tinggi. Dari situ dia dapat menghalakan pandangannya ke arah ladang Kelapa Sawit yang nampak di kejauhan. Dulu kawasan itu penuh dengan pokok Sagu yang menjadi makanan mereka sejak turun temurun. Di celah pokok-pokok Sagu itu di tanam pokok lada, terung dan berbagai lagi. Itulah tanaman turun temurun masyarakat Iban di kawasan itu. Walaupun tidak banyak pokok yang ditanam tetap mengeluarkan hasil. Tetap menjadi sumber rezeki masyarakat Iban sejak zaman dahulu. Tetapi kini pokok Sago itu sudah tidak ada lagi. Yang ada cuma pokok kelapa sawit yang buahnya tidak boleh dimakan.
Kaki kematu tebal yang disalut tanah lecak itu dihayun lagi. Dia cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan langkahan kakinya. Jerat-jerat yang dipasangnya perlu diperiksa dengan segera. Langkahnya kian panjang ketika menuruni denai yang ditumbuhi pokok mensiang dan keladi hutan. Selalunya jerat di kawasan itu mengena sebab kawasan itu tempat babi lalu lalang memcari makan. Namun dia berasa hampa bila mendapati jerat itu juga kosong.
" Kalau Apai dah ada duit tak payah lagi menjerat babi di hutan. Dengan duit itu Apai boleh ke pekan membeli apa saja yang Apai mahukan. Di pasar semuanya ada. Ikan, daging dan sayur semuanya lengkap. Apai tak perlu lagi meredah hutan tebal itu setiap hari."
Dia cuba mencari kebenaran kata-kata anaknya itu. Memang betul, kalau banyak duit semua boleh dibeli tetapi adakah dia akan dapat banyak duit kalau membenarkan kawasan hutan itu dimusnahkan?. Projek tanaman Kelapa Sawit seluas 100 hektar itu telah berjaya. Tetapi apa yang dia dapat dari projek tersebut?. Menunggu keluar hasil entah bila. Mana tahu apabila buah itu dijual nanti duitnya masuk ke poket orang lain.
" Apai sudah tua. Duduk berehat sajalah di rumah.Buat apa nak bersusah payah meredah hutan belantara untuk mencari rezeki yang belum tentu dapatnya."
" Siapa kata Apai sudah tua?. Apai masih kuat. Masih mampu meredah hutan belantara. Masih mampu menjerat babi. Kelmarin bila Apai dapat seekor babi, Apai kandar babi itu seorang diri dari hutan hingga ke rumah panjang. Itu buktinya Apai masih bertenaga. "
Jerit pekik monyet yang bergayut-gayutan dihujung dahan mengejutkan Mandar Tuai Pasong. Dia rasa terhibur lalu mendongakkan kepalanya untuk menyaksikan drama kejar mengejar lompat melompat sekumpulan monyet itu. Memang benar dia berasa terhibur menyaksikan telatah monyet-monyet itu. Tiba-tiba dilihatnya semua monyet-monyet itu berhenti melompat lalu menyeringai menunjukkan taring ke arahnya. Dia berasa seperti monyet-monyet itu sedang mengejeknya.
" Mandar Tuai memang dah tua tak mampu lagi mempertahan kan hutan ini. Kalau hutan ini dimusnahkan bukan kami saja yang kehilangan tempat tinggal, Mandar Tuai juga kehilangan rezeki kerana tidak ada tempat lagi untuk berburu.’
"Aku berjanji akan pertahan hutan ini. Tidak sesiapa yang boleh memusnahkannya. Percayalah. Aku berjanji akan pertahankan milik kita ini!"
Mandar Tuai Pasong seolah sedang berbicara dengan pokok-pokok dan monyet-monyet. Namun tidak ada yang memahami kata-katanya. Dia berasa penat lalu bersandar ke sebatang pokok sebesar sepemeluk. Mungkin pokok itu seusia dengannya. Kalau hutan itu di musnahkan maka pokok yang besar itu juga akan musnah. Dia teringat kata-kata seorang pelancong orang puteh yang pernah berkunjung ke rumah panjang.
" Mereka beriya sangat hendak membuka hutan itu kerana hendak mengambil kayu balaknya. Yang mengaut keuntungan nanti ialah taukeh-taukeh balak dan pegawai-pegawai kerajaan bukannya kaum Iban. Sepatutnya kamu mesti menentang usaha untuk memusnahkan kawasan hutan semula jadi ini. ia sesuatu yang amat bernilai bagi kamu dan generasi kamu. "
Mandar Tuai Pasong teringat pula kata-kata Ah Seng yang selalu datang ke rumah panjang membeli lada atau apa saja hasil tanaman orang-orang Iban untuk dibawanya ke pekan. Sebagai peraih dia mendapat keuntungan sebagai orang tengah.
" Apabila hasil kelapa sawit itu di jual di kilang yang mengaut untung ialah taukeh besar. Pegawai besar. Orang-orang Iban akan menggigit jari," begitu pendapat Ah Seng.
Seorang pelancung yang mengaku sahabat alam sekitar pula mengatakan, apabila hutan itu ditebang cuaca yang sejuk akan bertukar panas kerana tidak ada lagi pokok-pokok kaya yang melindungi muka bumi. selain itu katanya lagi, batang oya, batang Igan dan semua batang-batang di sekitar kawasan itu akan tercemar kerana tanah lumpur akan turun dari bukit-bukit yang telah digondolkan.
kata-kata yang diucapkan oleh mereka itu bertali arus kedengaran di telinganya. Ini menambahkan lagi kebenciannya kepada mereka yang cuba memusnahkan hutan kesayangannya itu. Dia terus meredah hutan dan menghayun tapak kakinya yang berkematu tebal.
" Ngaummm!"
Dia terkejut mendengar suara itu. Apa yang pasti itu bukan suara Aghata. Bukan suara Syafiq. Bukan suara pelancung orang putih. Suara itu tidak pernah didengarnya dalam jarak yang begitu dekat.
Mandar Tuai Pasong membuka luas pandangannya. Dia memerhati kawasan sekitarnya dengan penuh debaran di dada. Dan bunyi mengaum itu bergema lagi. Kali ini semakin dekat. Ketika Mandar Tuai Pasong menoleh ke belakang dia terkejut apabila ternampak seekor harimau belang sebesar anak lembui jantan berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Mandar Tuai Pasong tiba-tiba berasa takut yang amat sangat. Keberaniannya cair apabila terserempak dengan haiwan yang ganas itu. Dia kini cuma ada dua pilihan. Lari menyelamatkan diri atau terpaksa berhadapan dengan raja rimba itu.
" Kau bukan musuh aku dan aku bukan musuh kamu. Jangan ganggu aku dan pergi dari sini!" kata Mandar Tuai Pasong dengan nada suara penuh ketakutan.
Namun harimau itu tidak memahami apa yang diucapkan oleh penolong tuai rumah panjang itu. Naluri haiwannya mengatakan, ketika perut lapar tidak boleh membiarkan rezeki yang ada di depan mata. Harimau itu berkisar lalu berjalan perlahan ke arah kiri. Mandar Tuai Pasong dapat mengagak harimau itu sememangnya berniat jahat hendak menjadikannya mangsa. Dia mengumpul kekuatan. Tanga kanannya kejap menggenggam parang panjang. Dia tidak ada pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan nyawanya dia terpaksa bertarung dengan harimau itu. Dia berasakan semangat pahlawan Iban perlahan-lahan menyerap ke dalam tubuhnya.
Sebaik saja harimau itu menerkam, dengan sekuat tenaga tuanya yang masih ada dia melibaskan parang panjang di tangannya ke arah harimau itu. Dia dapat lihat mata parang itu tepat mengenai bahagian kepala harimau. Namun tidak berjaya melukainya kerana berbulu tebal. Atau mungkin juga libasan parangnya tidak kuat. Dan Harimau itu bersedia untuk menerkam kali kedua. Baru kini dia sedar tenaga tuanya tidak mampu menghadapi harimau itu. Hanya dengan senapang patah sahaja harimau itu dapat ditewaskan. Kerana itu mustahil dia boleh membunuhnya kalau cuma bersenjatakan parang.
Mandar Tuai Pasong mencuri pandang jika ada pokok yang boleh dipanjatnya. Namun pokok di sekelingnya besar belaka dan dia pasti tidak akan mampu memanjatnya. Ketika itu yang terlintas dalam fikiran Mandar Tuai Pasong ialah melarikan diri.
Dia mengumpul segenap tenaga lalu melarikan diri dari harimau yang kelaparan itu. Baru beberapa langkah dia berlari, tiba-tiba dia terasa badannya di hempap oleh benda keras dari arah belakang. Tengkuknya seperti di cengkam oleh sesuatu. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya. Dia cuba menjerit tapi suaranya tersumbat. Dan pandangannya gelap.

HADIAH PALING BERHARGA

HADIAH PALING BERHARGA
Oleh: Abdullatip
SEORANG wanita muda melangkah turun dari sebuah bas yang berhenti di sebuah pekan kecil di Jelebu. Dia menjinjing sebuah beg kecil sambil menapakkan kakinya berjalan menyusuri lorong yang bersambung dengan deretan rumah kedai. Di pekan kecil yang terletak jauh di pedalaman itu tidak ada yang menarik perhatiannya kecuali suasananya yang tenang, udaranya yang nyaman, dikelilingnya pohon-pohon kayu yang subur menghijau. Sengaja dipilihnya daerah yang terpencil itu dengan harapan dapat mengubati jiwanya yang terluka serta melupakan kemelut hidup yang melanda dirinya. Namun dia tidak pasti apakah kedatangannya diterima dengan baik oleh penduduk tempatan atau kehadirannya bagaikan makhluk asing yang tidak disenangi. Namun walau apapun risikonya dia pasrah.
Wanita muda berpakaian seluar Jean dengan baju T tidak berlengan itu masuk ke sebuah kedai makan lalu mengambil tempat duduk. Dia memesan roti canai dan air kopi kegemarannya. Perut yang tadinya kosong kini sudahpun berisi. Dia berasa segar dan bertenaga semula. Timbul persoalan di hatinya, di manakah tempat hendak menginap?.
Dia ingin bertanya sesuatu kepada lelaki India Muslim, tuan punya kedai makanan itu. Tetapi dia membatalkan hasratnya apabila sorang pemuda yang sebaya dengannya masuk lalu duduk di meja yang sama. Dia tidak tahu kenapa pemuda itu memilih tempat itu sedangkan masih banyak meja yang kosong kerana pelanggan dalam kedai itu tidak ramai.
Ternyata kehadiran pemuda itu sama dengan kehadirannya kerana tidak siapa di situ yang pedulikannya kecuali pelayan yang datang bertanyakan menu. Mungkin pemuda itu juga orang luar. Begitu telahan wanita itu. Kalau tidak masakan tidak siapa dalam kedai itu yang menyapanya.
Pemuda itu memesan Roti Canai dengan Air Kopi. Ternyata selera mereka ada persamaannya. Dia memandang sambil tersenyum namun pemuda itu bermuka selamba sahaja. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena?. Antara mereka memang tidak pernah bertemu tetapi mahal sangatkah untuk membalas senyuman?.
Namun dia hendak juga bertanyakan sesuatu kepada pemuda itu. Di manakah tempat hendak bermalam?. Di manakah tempat yang menarik untuk dilawati?. Dan banyak lagi maklumat daerah itu yang perlu diketahuinya. Namun dia membiarkan dulu pemuda itu menghabiskan makanannya. Tambahan pula dia seperti orang yang lapar menyuap makanan dan meneguk minuman tanpa menghiraukan orang lain. Atau pemuda berbadan gempal, berkulit sawo matang itu memang seorang yang pendiam.
“ Nama saya Hawa,” kata wanita muda itu memperkenalkan dirinya.
“ Saya Adam,” balas pemuda itu masih tunduk sambil mengunyah makanan.
“ Saya seorang musafir. Boleh tunjukkan di mana letaknya hotel atau chalet yang sesuai untuk saya bermalam?”
Kini barulah pemuda itu mengangkat mukanya memandang tepat ke arah muka wanita di depannya. Ternyata mereka memang tidak pernah saling mengenali. Terbetik rasa simpati di hati Adam.
“ Di pekan kecil ini tak ada hotel atau chalet,” katanya. “Awak dari mana dan hendak ke mana?”
Wanita itu berasa keberatan untuk berterus terang kerana dia tidak mahu orang lain tahu siapa dirinya. “ Rasanya tak perlu saya beritahu awak dari mana asal saya dan apa tujuan saya ke sini. Saya Cuma nak awak tunjukkan tempat yang sesuai untuk bermalam.”
Ternyata pemuda bernama Adam itu berasa kurang senang mendengarnya. Dia kembali tunduk menyuap makanannya. Dia seolah ingin mengatakan, aku tidak akan menolong seorang wanita yang tinggi egonya. Melihat sikap dingin lelaki itu maka wanita bernama Hawa itu mula bersikap mesra.
“ Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyinggung.. Saya datang dari jauh. Di sini tidak ada sesiapa yang saya kenal. Saudara mara jauh sekali. Saudara tolong tunjukkan di mana tempat untuk saya bermalam.”
“ Saya dah kata tadi di sini tak ada hotel atau chalet.”
“ Tolonglah saudara. Saya perlukan tempat untuk bermalam.”.
Pemuda itu termenung sejenak barangkali sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia merenung muka wanita itu seolah ingin mentafsir adakah dia boleh dipercayai?.
“ Awak boleh bermalam di Masjid atau Surau. Kalau awak mahu saya boleh tolong hantarkan.”
“ Sampainya hati awak suruh saya tidur di masjid seorang diri.”
“ Selain tempat beribadat, masjid juga tempat musafir singgah bermalam.”
“ Saya tak berani tidur di masjid seorang diri.”.
“ Pilihan kedua. Awak boleh bermalam di rumah saya. Itupun kalau awak sudi kerana bilik tidur di rumah saya tidak seperti di hotel.”
Ternyata wanita itu berasa serba salah untuk menerima atau menolaknya. Namun dia tidak ada pilihan. “ Pilihan kedua itu lebih baik dari pilihan pertama. Tapi saya bimbang apa kata isteri awak nanti.”
“ Saya tak ada isteri dan saya sendirian di rumah itu.”
Wanita itu seperti ingin ketawa. “ Awak janganlah nak bergurau dengan saya,’ katanya.
“ Saya tak bergurau. Saya ikhlas.”
“ Gila!”.
“ Kalau begitu awak tidur saja di masjid. Tapi elok awak berhati-hati. . Kabarnya masjid itu selalu didatangi oleh makhluk jin. Pernah seorang musafir yang bermalam di masjid itu, bila tersedar pagi esoknya dia berada dalam bilik air.”
“ Mungkin dia mengigau lalu berjalan ke bilik air.”
“ Dia diangkat oleh makhluk Jin lalu dipindahkan ke bilik air.”
Wanita itu berasa takut mendengarnya. Dia melihat jam di tangannya hampir pukul 7 malam. Sebentar lagi senja akan menjelma. Dia tidak ada pilihan. “ Okeylah, saya terima cadangan awak yang kedua.”
“ Awak jangan buruk sangka kerana saya ingin menolong secara ikhlas. Kebetulan di rumah saya ada bilik kosong. Awak boleh bermalam di situ.”
“ Terima kasih. Tapi saya tak mahu menumpang secara percuma. Berapa sewa bilik itu akan saya bayar.”
“ Awak tak perlu bayar apa-apa kerana awak akan jadi tetamu di rumah saya. Tetapi untuk selama tiga hari sahaja. Selepas itu awak bukan lagi tetamu saya.”
“ Maknanya saya akan dihalau pada hari yang ke empat?”
“ Awak akan dikenakan bayaran pada hari yang ke empat dan seterusnya.Tapi saya yakin awak tak akan selesa tinggal lama di rumah saya. Mungkin awak Cuma tahan semalam saja.”
“ Bagaimana pula dengan jiran tetangga?. Tidakkah nanti timbul syak wasangka atau mungkin juga fitnah?”
“ Rumah saya agak terpencil. Tidak siapa tahu awak ada di rumah saya kecuali kalau awak keluar.”
“ Awak mahu saya berkurung dalam rumah awak siang dan malam?”
“ Kalau begitu awak tidur saja di Masjid. Itu lebih selamat.”
Akhirnya mereka mencapai kata sepakat. Wanita itu bersetuju bermalam di rumah Adam, lelaki yang baru saja dikenalinya. Lelaki itu juga sanggup menerima wanita itu sebagai tetamu di rumahnya walaupun dia tahu berbagai risiko yang akan dihadapinya. Dan sebelum mereka keluar dari kedai makan itu, Adam membayar harga makanan termasuk kepunyaan wanita itu.
“ Kenderaan saya Cuma sebuah motoisikal buruk. Kalau awak sudi boleh membonceng di belakang atau awak berjalan kaki saja ikut arah saya.”
Sekali lagi wanita itu berasa serba salah. Tetapi akhirnya dia terpaksa juga membonceng di belakang motosikal Adam kerana tidak sanggup berjalan kaki. Tambahan pula dia tidak pasti berapa jauhkah rumah lelaki itu.
Bermalam di rumah lelaki yang tidak dikenali memang sesuatu yang menakutkan. Berbagai sangkaan yang buruk melanda fikirannya. Namun apalah yang perlu ditakutkan lagi kerana dia pernah berasa putus asa untuk meneruskan kehidupan. Malah pernah dia berfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya dengan menelan berpuluh biji pil tidur.
Dan pada malam itu untuk pertama kali dalam hidupnya, dia bermalam di sebuah rumah yang sederhana besarnya terletak jauh di kawasan pedalaman. Ketika dia membaringkan dirinya di atas katil yang lengkap dengan tilam, bantal dan selimut, kedengaran suara lelaki itu membaca ayat suci al Quran. Dia berasa tenang dan terlena.
Tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar pintu bilik tidurnya di ketuk berulang kali. Ketukan pada pintu bilik itu masih kedengaran. Walaupun nada ketukan itu tidak keras namun mengganggu emosinya. Tambahan pula dia berasa letih dan mengantuk. Pada mulanya dia berharap ketukan itu akan berhenti apabila dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Namun sangkaannya meleset kerana bunyi ketukan itu terus kedengaran. Dia bingkas bangun lalu duduk di birai katil. Di rumah itu hanya dia dengan Adam sahaja yang jadi penghuninya. Mustahil orang luar berani datang mengetuk pintu bilik tidurnya. Apa tujuan Adam berbuat begitu?..
Tiba-tiba dia berasa takut. Bulu romanya meremang dan seluruh badannya berasa sejuk. Peristiwa hitam yang berlaku ke atas dirinya kembali menjelma dalam ingatannya. Mungkinkah peristiwa yang amat menyakitkan itu akan berulang lagi?. Dia tidak sanggup lagi merasai kepedihan itu. Dia bukan saja telah kehilangan sesuatu yang paling berharga pada dirinya malah kehilangan keyakinan terhadap orang yang selama ini paling dipercayainya. Sungguh tidak disangka orang yang dianggap seperti ayah sendiri sanggup melakukannya. Dia tidak akan memafkan kesalahan ayah saudaranya itu.
Bunyi ketukan pada pintu itu kedengaran lagi. Bunyinya sama seperti yang pernah didengarnya pada malam kejadian itu. Dia masih ingat ketika itu dia masih belum tidur kerana asyik membaca sebuah novel kisah cinta yang begitu menyentuh perasaannya. Dia bercadang untuk menghabiskan bacaannya. Kerana cuaca pada malam itu agak panas dia Cuma mengenakan pakaian yang nipis sahaja. Dan tanpa mengesaki apa-apa, dia terus membuka pintu bilik tidurnya. Dan sebaik saja pintu itu terbuka, Bapa saudaranya menerpa masuk.
Walaupun dia cuba meronta untuk melepaskan diri dari menjadi mangsa lelaki berusia 50an yang sedang mabuk dan di rasuk Syaitan itu namun tidak berjaya. . Apatah lagi bila mulutnya di tekup dengan tapak tangan yang kasar. Dan akhirnya berlaku sesuatu yang amat menyakitinya. Dan peristiwa itu terus menghantui fikirannya. Lamunannya terhenti apabila pintu bilik itu diketuk lagi...
“ Kalau awak masih belum tidur tolong buka pintu ini,” kedengaran suara Adam dari luar.
Dia terus mendiamkan diri dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang tidur. Tambahan pula dia memang takut hendak membuka pintu itu. Dia dapat agak apa tujuan seorang lelaki masuk ke bilik tidur perempuan kalau tidak ingin melakukan seperti apa yang pernah dilakukan oleh bapa saudaranya?. Tidak. Dia tidak sanggup peristiwa itu berulang lagi.
Kerana itu pada mulanya dia berasa keberatan untuk menerima pelawaan pemuda itu untuk bermalam di ruimahnya. Tetapi kerana tidak ada hotel atau rumah tumpangan maka terpaksa dia menerimanya walau dengan hati yang berat. Tambahan pula dia tidak sanggup menumpang tidur dalam masjid seorang diri kerana takut diganggu makhluk Jin seperti yang diceritakan oleh Adam.
“ Saya tahu awak masih belum tidur!,” kata pemuda itu lagi. ” Tapi kalau tak mahu buka pintu pun tak mengapa. Saya Cuma nak bagi ubat nyamuk sebab di rumah ni nyamuk berkeliaran. Kalau awak perlukan ubat nyamuk saya ada letakkan di balik pintu.”
Sejurus kemudian suasana sepi. Setelah yakin pemuda itu tidak ada lagi di situ barulah senang rasa hatinya. Benar seperti kata pemuda itu, dalam rumah itu banyak nyamuk yang kelihatan berterbangan di bawah sinaran lampu kalimantang. Beberapa ekor nyamuk yang kekenyangan hinggap di dinding. Kerana keletihan dia tidur nyenyak sehingga tidak sedar digigit nyamuk..
Dia bangun menghampiri pintu bilik itu lalu memulas tombolnya. Benarlah seperti kata pemuda itu. ada sebungkus ubat nyamuk dan sekotak mencis api. Dia segera mengambilnya dan menutup semula pintu itu. Setelah membakar ubat nyamuk dia ingin tidur semula. Namun entah kenapa matanya tidak mahu terlena. Di luar rumah itu kedengaran bunyi suara katak dan cengkerik memanggil hujan. Sayup-sayup kedengaran bunyi anjing menyalak. Suasana waktu malam di kawasan pedalaman itu agak menyeramkan. Namun dia berasa selamat kerana berada dalam bilik yang boleh dikunci dari dalam.
Rumah itu sederhana besarnya diperbuat dari papan dan beratap zing. Kalau di kota tempat kelahirannya, rumah seperti itu banyak terdapat di kawasan setinggan. Dia memang tidak pernah tinggal di rumah seperti itu kerana sejak dilahirkan tempat kediamannya ialah di sebuah Kondominium mewah milik bapanya yang terletak di tengah kota.
Tiba-tiba dia terbayang wajah ayah dan ibunya. Sejak dilahirkan dia mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Dia amat disayangi oleh ayah dan ibunya. Dia juga mendapat seorang pengasuh bernama Mak Yam yang bersedia pada bila-bila masa menurut arahannya. Dari pengasuh itu dia belajar cara-cara memasak, membasuh kain serta mengemas rumah.
Namun keadaan hidupnya mula berubah apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dalam satu nahas di jalan raya apabila kereta mewah yang di pandu oleh bapanya bertembung dengan sebuah bas. Ibunya yang turut berada dalam kereta itu juga meninggal di tempat kejadian. Hidupnya lebih menderita kerana bapa saudara yang sepatutnya jadi pelindung bersifat tamak serta ingin membolot semua harta yang ditinggalkan oleh bapanya. Kalau ayah dan ibunya masih hidup tentu dia tidak sampai ke daerah yang terpencil itu.. .
Tiba-tiba dia berasa perutnya sakit. Mulanya sekadar rasa memulas tetapi lama kelamaan semakin sakit. Dia memerhatikan di sekitar bilik itu kalau ada minyak angin atau ubat yang boleh disapukan pada perutnya, Namun hampa.
Apabila tidak tertahan lagi menahan kesakitan itu dia nekad untuk keluar dari biliknya bagi mendapatkan pertolongan. Dan orang yang diharapkan dapat menolongnya ialah Adam. Dia berasa yakin pemuda itu masih belum tidur kerana lampu di biliknya masih menyala.
Apabila dia berdiri di muka pintu bilik pemuda itu, timbul pula rasa serba salah di hatinya. Mungkin ketukan itu akan menimbulkan kemarahan. Atau mungkin juga Adam akan mendiamkan diri seperti yang dilakukan sebentar tadi. Namun dia tidak ada pilihan lain lalu diketuknya pintu bilik itu dengan belakang jari tangan. kanan.
Ketika itu Adam baru saja terlena. Sengaja dibiarkannya lampu dalam bilik itu terpasang. Apabila pintu itu diketuk dia pun terjaga. Sebenarnya dalam lenanya tadi dia bermimpi didatangi oleh seorang bidadari yang cantik jelita. Kerana itu pada mulanya dia menyangka masih di alam mimpi. Lalu digosok tapak tangannya dan dicubit pipinya untuk membuktikan dia memang berada di alam nyata.
Kenapa wanita muda itu begitu berani mengetuk pintu biliknya?. Dia bertanya pada dirinya sendiri. Sebaik saja pintu bilik tidur itu dibuka, Adam tergamam bila melihat wanita itu tercegat di muka pintu. Mukanya nampak pucat sambil tapak tangan kanannya menekan bahagian perutnya yang sakit.
“ Kenapa?. Awak sakit?” tanya Adam seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“ Mungkin dimasuki angina,” jawab wanita itu. “ Tolong berikan saya minyak angin atau apa saja ubat yang boleh menahan rasa sakit.”
Adam segera membuka laci meja tulisnya lalu diambilnya sebotol minyak angin dan beberapa biji Panadol. Memang sengaja disimpannya ubat-ubatan itu untuk digunakan apabila diperlukan. .
“ Telan ubat ini,” kata Adam sambil menghulurkannya kepada Hawa. “ Saya ke dapur untuk mengambil air suam.”
Sebentar kemudian Adam datang semula sambil membawa segelas air suam lalu diberikannya kepada Hawa. Wanita itu mengucapkan terima kasih lalu menelan 2 biji pil panadol untuk menahan kesakitannya. Kemudian diteguknya air suam itu supaya ubat tersebut masuk ke dalam perutnya.
“ Terima kasih atas pertolongan saudara,” kata wanita muda itu. “ Saya nak masuk semula ke bilik. Terima kasih sekali lagi.”
“ Jangan lupa gosok minyak angin itu pada perut awak.. Atau kalau sudi biar saya yang tolong gosokkan,” kata Adam sepereti bergurau.
Gila!. Jerit wanita itu dalam hati. Namun dia tidak marah, malah senang dengan gurauan anak muda itu. Hawa masuk semula ke bilik tidurnya. Sengaja tidak dikuncinya pintu bilik itu kerana kalau terjadi sesuatu pada dirinya tentulah pemuda itu mudah untuk memasukinya dan memberikan pertolongan. Timbul pula pertanyaan dalam hatinya, bagaimana kalau ditakdirkan dia meninggal di rumah pemuda itu?. Dia yang sudah mati tentu tidak jadi masalah tetapi bagaimana pula dengan Adam?. Pastinya pemuda itu akan disoal siasat oleh pihak polis.
Dia sedar dirinya kini sedang dicari oleh bapa saudaranya. Mungkin pihak polis juga sedang mengesannya di seluruh Negara. Mungkin esok keluar berita tentang kehilangnnya dalam surat kabar.
Wanita muda itu masih belum terlena apabila dia mendengar langkahan kaki pemuda itu menuju ke biliknya. Dadanya bergemuruh dan rasa cemas menguasai dirinya. Pintu bilik itu memang tidak dikunci dari dalam dan sebentar lagi pemuda itu pasti akan masuk. Dan selepas itu apa akan terjadi ke atas dirinya?.
Sebelum sempat dia berbuat apa-apa, Adam sudah membuka pintu bilik itu dan melangkah masuk. Dia hampir menjerit ketakutan tapi mujur dapat ditahan perasaan takutnya. Lalu dia melelapkan mata pura-pura tidur dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang terlena. Dia pasrah namun berharap pemuda itu tidak sekejam bapa saudaranya.
Dia dapat merasakan kain cadar di hujung kakinya ditarik dengan perlahan lalu tubuhnya diselimutkan. Sejurus kemudian pemuda itu keluar sambil menutup pintu bilik itu.